Senin, 03 Januari 2011

Saladin animasi popular

Saladin ditayangkan di 20 negara


WATAK Saladin (kanan) merupakan kejayaan MdeC dalam menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa.


TIDAK keterlaluan jika dikatakan animasi Saladin terbitan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MdeC) merupakan animasi tempatan yang paling berjaya dihasilkan setakat ini.
Ia bukan setakat berdasarkan mutu penerbitan, malah animasi dengan kerjasama saluran televisyen (TV), Al Jazeera Children’s Channel itu juga mendapat sambutan di luar negara.
Menurut Naib Presiden Industri Kreatif, Strategi dan Polisi MdeC, Kamil Othman, Saladin misalnya bakal ditayangkan di stesen-stesen TV di lebih 20 buah negara mulai awal tahun ini.
“Buat masa ini, Saladin telah pun ditayangkan di negara-negara seperti Bahrain, Maghribi, Tunisia, Lebanon dan Arab Saudi. Kami juga sedang berbincang untuk pasaran lebih luas.
“Buat masa ini kami sudah pun mengadakan perbincangan bagi memasarkan animasi ini di negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Turki, Croatia dan Serbia.
“Sehingga tahun ini kami menyasarkan Saladin bakal ditayangkan sekurang-kurangnya di 20 buah negara,” katanya pada pelancaran Saladin di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Saladin yang menelan kos RM15 juta termasuklah untuk penyelidikan dan pembangunan merupakan sebuah animasi dengan 13 episod setiap musim yang bertaraf antarabangsa.
Animasi musim pertamanya itu yang kini sedang ditayangkan di TV1 setiap Sabtu pukul 7.30 malam merupakan sebuah cerita popular yang diambil dari Timur Tengah.
Jelas Kamil, kos pembikinan Saladin bukan sahaja berbaloi, malah lebih membanggakan apabila 95 peratus tenaga kerja penerbitannya terdiri daripada anak-anak tempatan.
“Kualiti animasi ini sama tarafnya dengan yang dihasilkan oleh studio di Hollywood seperti Pixar dan Dream Works. Saladin juga mempunyai produk-produknya sendiri.
“Contohnya permainan video, komik dan barangan cenderahati lain termasuklah kemeja-T. Sebab itu, kami yakin produk-produk ini boleh dikembangkan lebih jauh pada masa depan,” ujarnya.
Katanya, Saladin yang menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar telah dialih bahasa apabila ia disiarkan di stesen-stesen TV di luar negara.
MdeC yang bekerjasama dengan syarikat produksi seperti Young Jump Sdn. Bhd., dan Imaginex Studios Sdn. Bhd., itu menggunakan lebih 90 tenaga pakar dalam bidang tersebut.
“Kesemua syarikat produksi itu mempunyai tenaga-tenaga pakar dalam bidang animasi di mana syarikat-syarikat terbabit juga telah mendapat status Malaysia Super Coridor.
“Atas keyakinan itu jugalah maka Saladin musim kedua akan menemui para penonton sebanyak 13 episod mulai September tahun ini. Ia juga akan dipasarkan di luar negara,” jelasnya.
Bagaimanapun, tambah Kamil, dia kurang berpuas hati apabila Saladin yang kini sedang disiarkan menerusi saluran TV RTM itu kurang mendapat publisiti meluas.
Ujarnya, adalah sesuatu yang merugikan kerana tidak ramai terutama penonton tempatan termasuklah berusia daripada 10 hingga 15 tahun yang menyedari tayangan Saladin.
“Bagi saya, Saladin adalah sebuah projek kerajaan di mana ia atas sokongan bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu projek ini hendak dimulakan pada 2004.
“Sebagai sebuah harta milik kerajaan sepatutnya semua pihak memberi sokongan kepada animasi ini kerana ia sebuah program memberi manfaat kepada para penonton,” katanya.
Siri animasi itu antaranya menggunakan suara ramai selebriti terkenal seperti Patrick Teoh, Asha Gill, Gavin Yap dan Tony Eusoff dengan durasi 26 minit bagi setiap episod.
Saladin yang berlatarbelakangkan Timur Tengah abad ke-12 mengisahkan tentang seorang lelaki yang menggunakan kelicikannya bagi menentang pelbagai kejahatan yang berlaku ketika itu

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar